Oleh PROF. DR. AWANG SARIYAN
BAHASA Melayu sejak lebih daripada satu alaf telah
memiliki martabat sebagai bahasa besar. Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu
telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama dan
lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Pada
zaman kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19, bahasa
Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu,
dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa
ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera
tinggi. Sarjana Belanda Francois Valentijn mengungkapkan
kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang berikut:
``Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja
dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan
Melayu dan di negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di
mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin
di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan di Levant. Sungguh
luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah
mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi
bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehinggan kepulauan
Filipina.''
Kebitaraan bahasa Melayu pada abad 16 dan 17 dapat
dirumuskan dengan kenyataan bahawa bahasa tersebut telah mencapai taraf bahasa
antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua
franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia dan
bahasa sastera.
Kelunturan martabat bahasa Melayu
Martabat bahasa Melayu dilunturkan oleh penjajah
(Belanda di Indonesia dan Inggeris di Malaysia) dengan menurunkan darjat bahasa
itu daripada bahasa besar dan bahasa perhubungan luas menjadi bahasa setempat
atau bahasa vernakular yang disempitkan fungsinya hanya sebagai bahasa
perhubungan sehari-hari dan lebih untuk lingkungan masyarakat Melayu. Dalam
zaman penjajahan Inggeris, bahasa Melayu disetarafkan dengan bahasa keturunan
yang dibawa oleh Inggeris untuk kepentingan ekonomi, iaitu keturunan Cina dan
India dengan menjadikannya bahasa penghantar di sekolah vernakular Melayu, sama
halnya dengan bahasa Cina di sekolah vernakular Cina dan bahasa Tamil di
sekolah vernakular India.
Dalam bidang bahasa dan pendidikan, terang bahawa
bahasa Melayu hanya menjadi bahasa penghantar sekolah Melayu yang terbatas pula
jangkauan bidang ilmu dan kemahirannya. Hal ini direncanakan dengan cukup kemas
oleh penjajah Inggeris, semata-mata untuk menutup kemungkinan anak watan dapat
muncul sebagai bangsa berwibawa dan dengan demikian berupaya membebaskan negara
daripada cengkaman penjajahan.
Selama hampir setengah abad negara menikmati
kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang
penting melalui tiga fungsi iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan
bahasa ilmu.
Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah
memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila sejumlah besar
generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan, tanpa kekangan
faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik serta keeksklusifan bahasa
penghantar ilmu yang dahulunya didominasi oleh bahasa Inggeris.
Namun, apabila ada tindakan berpatah kembali untuk
menjadikan bahasa lain sebagai wahana bidang-bidang utama kenegaraan itu,
khususnya melalui bidang pendidikan, maka martabat bahasa Melayu sudah mula
tergugat. Pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang
yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan,
Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka secara langsung akan
menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai salah satu tonggak pembinaan negara.
Walau bagaimanapun dengan adanya tantangan-tantangan
semasa, bahasa Melayu mengalami kemerosotan dalam dua aspek, iaitu aspek taraf
dan mutunya.
Kemerosotan dalam aspek taraf bermaksud penyempitan
penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan
penggunaannya oleh undang-undang. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam
bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan.
Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan
dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa
Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang
yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan. Percampuran ragam
bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah
linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa sembang di Internet dan
sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa
Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi.
Demikian juga, semakin tidak nyata semangat cinta
dan hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri
negara apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan
jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang
mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing (misalnya precinct, parcel dan
boulevard). Senario kini tentang kedudukan bahasa Melayu
menunjukkan kian kurang terbudayanya bahasa Melayu dalam kalangan sejumlah
anggota masyarakat, khususnya dalam konteks yang fungsional, iaitu yang
berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa
rasmi dan bahasa ilmu.
Senario itu tergambar pada beberapa perkara berikut:
1. Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan
dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi tidak mengutamakan bahasa
Melayu.
2. Tidak tegasnya dan tidak selarasnya
penguatkuasaan penggunaan bahasa dalam sektor tertentu seperti penggunaan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam dan penyiaran.
3. Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem
pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan dan pengecualian
pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib.
4. Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui
perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga timbul keghairahan
yang kadangkala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat
(pemimpin, profesional dan orang awam) untuk mengutamakan penguasaan bahasa
Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu.
5. Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek
kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri
tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak
berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai
ekonomi yang tinggi.
Jika bahasa Melayu digunakan pula, masih besar
jumlah anggota masyarakat, termasuk golongan yang berpengaruh yang
menggunakannya pada tahap mutu bahasa yang tidak begitu mencerminkan budaya
tinggi.
6. Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya
bahasa Melayu turut mengurangkan perhatian dan keyakinan sebilangan anggota
masyarakat kepada bahasa Melayu. Sebagai contoh, dalam pada DBP mengusahakan
penglibatan sektor swasta menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan
dan iklan mereka, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (menurut laporan The
Star pada 1 Januari 2004) membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan
tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan dan iklan. Seorang menteri
kanan pula, mengajak masyarakat mengabaikan pejuang bahasa yang didakwanya
berfikiran sempit.
Langkah meningkatkan martabat bahasa Melayu
Peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras
pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek
dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan
dengannya, sebagai langkah membina ketahanan jati diri dan maruah bangsa dan
negara. Dalam bidang bahasa, antara langkah yang perlu
diambil termasuklah:
1. Penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar
bahasa secara bersepadu - contohnya, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan
majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras
dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Semua
peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undang-undang negara
hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur
oleh semua lapisan, daripada pemimpin negara hingga penjawat awam dan
masyarakat umum. Usahlah ada sebarang tindakan yang melemahkan undang-undang
tersebut, sama ada melalui pengenalan dasar baru, pernyataan atau tindakan yang
bercanggah dengan undang-undang itu.
2. Pindaan dan perluasan peruntukan akta yang
berkaitan - pindaan Akta Bahasa Kebangsaan yang memberikan cakupan lebih luas
penggunaan bahasa Melayu, pindaan akta-akta yang sudah tidak kemas kini atau
tidak jelas tentang penggunaan bahasa Melayu seperti Akta Jalan, Parit dan
Bangunan, Akta Pertubuhan, Akta Pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat, Akta Cap
Dagang, Akta Industri Pelancongan dan beberapa yang lain perlu disegerakan.
Selain itu, akta yang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Penyiaran dan
Undang-Undang Kecil Pengiklanan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara
tegas.
3. Pengayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam
bahasa Melayu - usaha ini perlu ditingkatkan supaya nilai bahasa Melayu menjadi
lebih tinggi sebagai bahasa budaya tinggi, melalui penerbitan bahan ilmiah dan
rujukan umum dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat dan dalam pelbagai
media (bercetak dan elektronik). Agenda pengayaan khazanah ilmu dan persuratan
Melayu mesti dimasukkan dalam agenda pembangunan negara melalui Belanjawan
Negara.
4. Pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem
pendidikan - usaha ini perlu dimantapkan semula, dari peringkat prasekolah
hingga peringkat pengajian tinggi. Kerajaan perlu memberikan penegasan yang
lebih berat kepada usaha pembudayaan bahasa Melayu sebagai asas peneguhan
tamadun bangsa Malaysia dalam dua aspek yang penting. Yang pertama ialah
pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses
pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan
oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa
Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961
dan Akta Pendidikan 1996. Sebarang usaha berundur daripada keputusan yang
penting dan bijaksana serta telah membuktikan kejayaan dalam proses pembinaan
negara hendaklah dielakkan. Kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan
universiti-universiti lain dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu
untuk pelbagai bidang ilmu tidak harus direncatkan. Aspek yang kedua ialah
pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi
melalui kegiatan pengajaran dan pemelajaran, sukatan pelajaran, buku teks dan
bacaan tambahan serta melalui pelbagai kegiatan kokurikulum. Dengan demikian
diharapkan landaan pelbagai ragam bahasa tidak rasmi, sama ada bahasa sembang
Internet, bahasa SMS atau yang lain tidak akan sampai menggugat bahasa yang
mewakili budaya teras.
5. Komponen bahasa dan persuratan dalam pelbagai
program negara - semua program negara yang bersifat pembinaan sahsiah di
pelbagai peringkat mesti memasukkan program bahasa dan persuratan, misalnya
dalam Program Khidmat Negara, kursus Biro Tatanegara, KP3P dan sebagainya.
Kursus atau apa-apa juga program motivasi untuk kalangan ahli politik dan
profesional perlu memasukkan modul bahasa dan persuratan di dalamnya.
6. Modul bahasa dan persuratan dalam program
latihan jabatan - setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu memasukkan modul
bahasa, penulisan dan persuratan dalam program ``kursus dalam perkhidmatan''
masing-masing.
7. Pemantauan berterusan terhadap bidang penyiaran
dan media massa - usaha ini perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa media
massa melaksanakan tanggungjawab sebagai ejen pemantapan bahasa yang baik dan
santun dalam penyiaran dan penerbitan program atau bahan. Tindakan perlu
dilaksanakan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan juga tindakan undang-undang.
8. Program pemasyarakatan bahasa kebangsaan
bertaraf kebangsaan - kerajaan, melalui semua kementerian, jabatan dan agensi
serta perbadanan dan pihak swasta hendaklah secara aktif dan terancang
menyertai program pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara yang telah
dirancang dan dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya Bulan
Bahasa dan Sastera Negara yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Selain
itu, setiap jabatan kerajaan dan swasta hendaklah diminta merancang dan
menganjurkan kegiatan yang dapat menyemarakkan pembudayaan bahasa Melayu dari
waktu ke waktu dalam perancangan tahunan supaya bahasa dan persuratan Melayu
tidak terpinggir dalam sektor di luar lingkungan orang atau institusi khusus
dalam bidang bahasa dan sastera.
Pembangunan negara yang hakiki dan bersepadu hanya
tercapai apabila semua bidang yang penting diberi perhatian yang sama beratnya,
termasuk bidang bahasa dan budaya. Dalam konteks pembentukan jati diri dan
citra negara ini pula, dasar-dasar yang bersifat endoglosia, iaitu berasaskan
keperibumian yang disokong oleh hakikat sejarah kebudayaan dan tamadun di
negara dan dirantau ini perlu dipertahankan dan ditingkatkan. Tidak seharusnya berlaku keadaan negara menuju
kejayaan ekonomi dan industri sementara mengalami kehancuran dari segi unsur
dalaman bangsa, terutama bahasa dan budaya. Oleh itu, kerjasama antara semua
kementerian, jabatan, agensi, pertubuhan, sektor swasta dan orang perseorangan
perlu digemblengkan secara bersepadu oleh pemerintah dalam bentuk rangkaian
yang berkesan untuk memastikan pencapaian yang seimbang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan