Jumaat, 16 November 2012



SEJARAH DAN LATAR BELAKANG SEKOLAH
SK. Timbua terletak di kawasan pedalaman sejauh 40 kilometer dan mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit dari Pekan Ranau dan 108 KM dari Kota Kinabalau. Nama SK. Timbua diambil sempena nama sebuah batu besar yang terletak di tengah-tengah sebatang sungai yang menjadi nadi kehidupan penduduk setempat. Masyarakat setempat ketika itu telah bersepakat menamakan kampung mereka dengan nama Timbua sehinggalah ianya dijadikan nama rasmi sekolah sehingga ke hari ini. Penubuhan sekolah ini adalah hasil daripada sikap prihatin anak jati kampung ini sendiri yang menyedari betapa pentingnya pendidikan kepada anak bangsa sebagai pewaris generasi dahulu. Dengan usaha gigih mereka, tertubuhlah sebuah sekolah di kampung ini sebagai tempat menimba ilmu oleh penduduk setempat yang mana sebahagian besar muridnya adalah merupakan anak jati kampung ini sendiri.

Pada tahun 1969, pentadbiran sekolah ini diketuai oleh Encik Bais Singki sebagai Guru Besar dan dibantu oleh 5 orang kakitangan. Melihat kepada keperluan semasa, bangunan baru daripada konkrit dan papan telah didirikan untuk menggantikan bangunan asal yang dibina daripada buluh. Sebanyak 3 buah kelas telah ditambah sejajar dengan pertambahan bilangan murid. Pada tahun 1970, pucuk pimpinan sekolah telah beralih tangan kepada Puan Kusinah Yakub dan dibantu oleh 8 orang kakitangan. Semasa pentadbiran beliau, bangunan sekolah telah bertambah kepada 3 buah bangunan dan 6 buah bilik darjah.

Setelah beberapa tahun berlalu, SK. Timbua terus menerima arus perubahan. Bermula tahun 1972, sekolah ini telah ditadbir oleh Encik Nain Lunggai. Beliau telah menabur bakti di sekolah ini bersama-sama dengan 9 orang kakitangan dan merupakan Guru Besar paling lama berkhidmat di sekolah ini. Jasa beliau amat bermakna setelah terbinanya sebuah lagi bangunan dan bilangan kelas bertambah kepada 9 buah kelas.

Rentetan daripada jasa bakti golongan pendidik terdahulu, kesinambungan SK. Timbua sebagai pusat kecemerlangan pendidikan kepada masyarakat setempat diteruskan lagi di bawah pimpinan Encik Ahiyon Saridi pada tahun 1985, Encik Jamal Segenggot pada tahun 1987 – 1999, Encik Ahmad Idris pada tahun 1992, Encik Juhumat Kasuman pada tahun 1996, Encik Mathnie Samat pada tahun 2000 dan Encik Abdul Lahin pada tahun 2002. Pada tahun 2006, Encik Ahiyon Saridi yang merupakan bekas Guru Besar sekolah ini, sekali lagi diberi tanggungjawab untuk memimpin pentadbiran sekolah. Beliau dibantu oleh 20 orang guru serta 2 orang kakitangan bukan mengajar untuk meneruskan tugas mendidik kepada lebih 200 orang murid.

Pada bulan Mac 2007 Encik Ahiyon Saridi telah ditukar berkhidmat ke sekolah lain dan sekali lagi Encik Juhumat Kasuman kembali bertugas. Kemudian  pada bulan Mac 2008, beliau telah tamat perkhidmatan dan diganti sekali lagi oleh, Encik Jamal Segenggot yang pernah mentadbir sekolah ini pada tahun 1987. Melihat usia yang menjangkau 30 tahun, sekolah ini terus menerima arus perubahan. Kini sekolah ini telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti komputer, internet, dan juga beberapa kemudahan lain seiring dengan peredaran masa.

Sekolah ini juga semakin maju dan buktinya pernah dikunjungi oleh United Nation International Children Efficiency Fund (UNICEF), KPM, MGB dari Semenanjung dan beberapa pertubuhan NGO. Walaupun jauh dari pekan dan bandar, tetapi itu bukan menjadi satu penghalang bagi sekolah ini maju seiring dengan sekolah-sekolah bandar yang lain. 

Sejak sekolah ini ditubuhkan, ramai golongan terpelajar telah dapat dilahirkan. Ada dikalangan mereka yang kini berkhidmat dalam sektor awam dan juga swasta. Malah, terdapat guru-guru yang menjadi tenaga pengajar di sini  merupakan bekas murid SK. Timbua. Masyarakat setempat di sini turut berasa bangga melihat kejayaan yang telah dicapai oleh anak-anak mereka hasil penat lelah dan jasa bakti yang ditaburkan oleh warga pendidik terdahulu. Peralihan kepimpinan sekolah adalah suatu lumrah sebagai kesinambungan dalam usaha melahirkan anak bangsa yang berilmu dan berketerampilan di dalam aspek rohani dan sosial selaras dengan hasrat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Negara.

4 ulasan:

  1. Terima kasih atas maklumat ni cikgu.
    Wah, baguslah baru sy tahu ni sikit mengenai ni sejarah sekolah!

    BalasPadam